POKHARA : Pembantu juruterbang pesawat terhempas di Nepal Ahad lalu dilaporkan merupakan isteri kepada juruterbang yang terbunuh dalam nahas kapal terbang hampir 17 tahun lalu.

Memetik Reuters, pembantu juruterbang Anju Khatiwada, 44, mula berkhidmat di Yeti Airlines Nepal sejak 2010, empat tahun selepas suaminya meninggal dunia.

“Suami (Khatiwada), Dipak Pokhrel meninggal dunia pada 2006 dalam nahas pesawat Twin Otter milik Yeti Airlines di Jumla.

"Khatiwada menjalani latihan juruterbang dengan pampasan wang insurans selepas kematian suaminya." kata jurucakap syarikat penerbangan Sudarshan Bartaula kepada Reuters.

Tambah jurucakap, Khatiwada mempunyai lebih 6,400 jam masa terbang dan pernah menggunakan laluan itu sebelum ini.

Pesawat dipandu Khatiwada terhempas pada malam Ahad (waktu tempatan) ketika menghampiri lapangan terbang baharu di bandar peranginan Pokhara.

Sekurang-kurangnya 70 daripada 72 orang di atas kapal disahkan meninggal dunia.

Video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat kehilangan daya angkat berkemungkinan pada kelajuan udara rendah sebelum terhempas dan terbakar.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal dalam satu kenyataan memaklumkan manifes penerbangan menunjukkan pesawat itu membawa 68 penumpang dan empat anak kapal termasuk 57 penumpang Nepal dan 15 warga asing.

Jurucakap syarikat penerbangan memaklumkan pihak berkuasa telah menemui mayat kapten penerbangan, Kamal KC manakala mayat Khatiwada masih belum dikenal pasti.

Media tempatan Nepal memaklumkan tiada mangsa yang terselamat ditemui dalam serpihan pesawat terhempas itu. Tragedi ini disifatkan sebagai kemalangan udara paling dasyat di negara itu dalam tempoh tiga dekad.