LONDON: Gelombang panas melampau yang melanda barat Eropah menyebabkan sebahagian benua itu semakin ‘layu’ di bawah sinaran matahari sehingga menyumbang kepada kebakaran besar-besaran dan mengakibatkan suhu lebih tinggi pada Selasa.

Di Britain, ramalan kaji cuaca berkata, rekod suhu semasa mencecah 39.7 darjah Celsius dan mungkin meningkat lebih tinggi sehingga 40 darjah Celsius buat kali pertama di negara tersebut.

Pada Isnin lalu, suhu mencecah 38.1 darjah Celsius direkodkan di Suffolk di timur England dan sekali gus menjadikan ia sebagai hari paling panas dalam tempoh setahun.

BACA: Eropah terus 'membahang', suhu di UK lepasi 40 darjah Celsius buat kali pertama

Dalam pada itu, Pejabat Cuaca Negara Perancis berkata, sebilangan besar bandar barat negara tersebut merekodkan suhu panas melampau pada Isnin.

Suhu 39.3 darjah Celsius direkodkan di pantai Atlantik Brittany yang terletak di barat laut negara itu. Rekod sebelum ini hanya 35.1 darjah Celsius sejak tahun 2002.

Tidak ketinggalan Saint-Brieuc turut merekodkan suhu sehingga 39.5 darjah Celsius berbanding 38.1 darjah Celsius dan di bandar Nantes merekodkan suhu tertinggi sehingga 42 darjah Celsius yang mengatasi paras tertinggi selama beberapa dekad sejak tahun 1949.

Ketika ini, anggota bomba di barat daya Perancis masih bergelut dengan dua kebakaran besar-besaran sehingga memusnahkan kawasan yang luas.

Sejak seminggu lalu, anggota bomba dan dibantu pesawat pemadam api berusaha memadamkan kebakaran dan difahamkan hampir seluruh anggota dari Perancis dikerahkan ke kawasan terjejas.

Penyelidik Suruhanjaya Eropah berkata, hampir separuh atau 56 peratus wilayah Eropah terdedah kepada amaran kemarau peringkat tertinggi.

Manakala 11 peratus berada pada tahap berjaga-jaga dan tanaman dilaporkan mati akibat kekurangan air.

Kebakaran yang berlaku di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol telah menyebabkan ribuan hektar musnah dan sekali gus mengaitkan kebimbangan mengenai krisis makanan global. - Sinar Harian memetik agensi antarabangsa