JAKARTA: Wilayah Sulawesi Utara, Indonesia akan mengeksport 10,000 tan minyak kelapa mentah bernilai US$17.27 juta (US$1=RM4.18) ke Malaysia pada awal tahun ini, kata pegawai perdagangan.

Peladang dan pedagang perlu memanfaatkan permintaan negara itu untuk meningkatkan eksport, menurut agensi berita Antara yang memetik kenyataan Ketua Pejabat Perindustrian dan Perdagangan Wilayah Sulawesi Utara, Darwin Muksin.

Beliau menggesa peladang supaya mengekalkan kualiti produk untuk memenuhi keperluan pasaran.

Permintaan yang kukuh adalah berita baik buat kalangan peladang dan pedagang memandangkan ia menjadikan kelapa lebih menguntungkan untuk ditanam, katanya.

Darwin berkata kerajaan akan terus menyokong industri itu menerusi strategi eksport dan menggalakkan peserta industri untuk berkembang.

Produk berasaskan kelapa merupakan bahagian terbesar daripada eksport keseluruhan Sulawesi Utara, katanya.

-- BERNAMA