LONDON: Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menjadi raja paling lama berkhidmat di dunia selepas kemangkatan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II pada Khamis lalu.

Sultan Hassanal Bolkiah yang menaiki takhta pada tahun 1967 telah memerintah selama 54 tahun dan 339 hari sehingga Jumaat lalu iaitu lebih empat tahun lebih lama daripada Ratu Margrethe II dari Denmark.

Ratu itu kini menduduki tempat kedua sebagai pemerintah diraja masih hidup yang paling lama memerintah.

Sebelum ini, Ratu Elizabeth II menjadi Ketua Negara yang paling lama berkhidmat di dunia dan majlis meraikannya diadakan baru-baru ini sempena ulang tahun ke-70 pertabalannya pada awal tahun ini.

Beliau menaiki takhta ketika berusia hanya 25 tahun pada tahun 1952 selepas Perang Dunia II.

Sultan Hassanal Bolkiah yang berusia 76 tahun juga menjadi Perdana Menteri Brunei sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada tahun 1984. - Agensi/Sinar Harian