TOKYO: Seorang lelaki berusia dalam lingkuan 40-an telah ditahan polis susulan insiden tembakan melibatkan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.

Menurut agensi berita tempatan Jepun, lelaki berkenaan dikenali sebagai Tetsuya Yamagami, dan merupakan bekas anggota Tentera Laut atau Japan Maritime Self-Defense Force.

Agensi berita antarabangsa BBC melaporkan, Yamagami telah melepaskan dua tembakan terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu, mengakibatkan Abe rebah dan memegang dadanya yang jelas berlumuran darah.

Difahamkan insiden tersebut berlaku pada 11.30 pagi Jumaat, waktu tempatan, ketika Abe sedang memberi ucapan di hadapan penduduk di bandar Nara, barat Jepun.

Dalam video yang dipaparkan agensi berita Jepun, NHK, sejurus melepaskan tembakan, lelaki berkenaan telah dirempuh dan dijatuhkan ke tanah oleh pihak keselamatan.

Selain itu media tempatan melaporkan, suspek mengakui dia cuba membunuh Abe ekoran rasa ‘tidak puas hati’ terhadap bekas Perdana Menteri Jepun itu.

Bekas Gabenor Tokyo, Yoichi Masuzoe memberitahu media, Abe berada dalam keadaan penangkapan jantung atau cardiopulmonary arrest, satu terma perubatan yang sering digunakan di Jepun, sebelum kematian disahkan.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana tempatan mengesahkan Abe mempunyai luka tembakan di bahagian kanan tengkuk, selain pendarahan di bahagian kiri dadanya.

Ketika berita ini ditulis, Abe dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, dan tidak menunjukkan denyutan jantung sewaktu dirawat.