Syria terima lebih 35,000 dos vaksin AstraZeneca

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 18, 2021 13:03 MYT
Lebih dari 35,000 dos vaksin AstraZeneca tiba di wilayah yang dikuasai pemberontak, Bab Al-Hawa, yang menempatkan 4 juta orang. - Foto Twitter/WHO EMRO
BAB AL-HAWA: Bekalan baharu vaksin COVID-19 tiba di barat laut Syria pada Selasa selepas lebih daripada sebulan sempadan negara itu dibuka.
Lebih dari 35,000 dos vaksin AstraZeneca tiba di wilayah yang dikuasai pemberontak, Bab Al-Hawa, yang menempatkan 4 juta orang.
Vaksin diberikan menerusi program COVAX yang diketuai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kempen tersebut dibantu organisasi bukan kerajaan, Physicians Across Continents.
Koordinatornya, Abdul Hamid al-Arif memberitahu, antara cabaran dalam kempen berkenaan adalah masalah infrastruktur.
Katanya, sebagai negara yang berperang, infrastruktur yang dihadapi mereka sangat terhad.
"Mereka memperjuangkan vaksin untuk mengurangkan risiko kemasukan ke hospital, dan mereka perlu meyakinkan rakyat kita untuk mengambil vaksin.
"Oleh itu, Syria memerlukan lebih banyak vaksin daripada negara-negara lain," ujar Abdul Hamid al-Arif.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, kempen vaksinasi di Syria mensasarkan untuk menyuntik 20 peratus daripada jumlah populasi di negara itu menjelang akhir tahun ini.
#AstraZeneca #COVAX #COVID-19 #PBB #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Syria #vaksin #WHO