ISCHIA: Itali isytihar darurat di kepulauan selatan Ischia, selepas bencana tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan menyebabkan lima lagi hilang.

Media tempatan melaporkan gelombang lumpur dan serpihan menghempas bandar Casamicciola Terme  dan menghanyutkan kediaman serta kenderaan ke laut.

Menteri Perlindungan Awam memaklumkan dana kecemasan AS$2 juta diperuntukkan selepas mesyuarat tergempar berkaitan bencana tersebut.

Sehingga ini, lebih 200 petugas penyelamat masih mencari mangsa yang hilang.

Ratusan lagi membantu membersihkan jalan-jalan di bandar tersebut.

Bagaimanapun usaha menyelamat terganggu akibat hujan dan angin kencang.

Bandar berkenaan, yang menempatkan 8,000 penduduk, merupakan destinasi percutian musim panas yang popular dalam kalangan pelancong.