PENDUDUK di pantai timur Amerika Syarikat digesa bersiap sedia hadapi ribut yang disifatkan paling dasyat dalam beberapa tahun.

Taufan Henri, yang bermula sebagai ribut tropika, dijangka akan membadai Long Island di New York dan beberapa bahagian di selatan New England pada Ahad.

Angin kencang dengan kelajuan 120km/j dan hujan sebanyak 15cm dijangka akan melanda kawasan terbabit dan menyebabkan kerosakan teruk.

Kejadian taufan jarang berlaku di pantai timur Amerika Syarikat.

Kali terakhir New England dibadai taufan adalah pada tahun 1991 selepas Taufan Bob meragut 17 nyawa.

"Kita perlu mengambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga. Angin kencang disebabkan taufan ini boleh menyebabkan kerosakan harta benda yang teruk.

"Beberapa kawasan akan terputus bekalan elektrik. Selain itu akan berlaku kejadian pokok tumbang yang membahayakan nyawa," jelas pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, Deanne Criswell seperti dipetik CNN.

Kira-kira 6 juta penduduk yang tinggal berhampiran persisir pantai Long Island, Connecticut dan Massachusetts diberi amaran taufan.

Selain itu lebih 36 juta penduduk di kawasan selatan New England, New York dan New Jersey digesa untuk berwaspada.

Gabenor Massachusetts, Charlie Baker pada Jumaat mengumumkan kesemua taman riadah dan kawasan pantai ditutup bermula Sabtu sehingga Isnin.