WASHINGTON: Semakin tinggi pencapaian teknologi manusia, semakin itulah manusia boleh merenungi keajaiban ciptaan alam semesta yang tidak terbatas.

Hanya seminggu selepas siri imej pertama didedahkan kepada pencinta astronomi sedunia, Teleskop Angkasa James Webb mendedahkan penemuan sebuah galaksi yang wujud sejak 13.5 bilion tahun lalu.

Dikenali sebagai GLASS-z13, galaksi itu merekodkan sejarah 300 juta tahun selepas peristiwa Big Bang (teori Letupan Besar yang saintis percaya menjadi titik permulaan kejadian alam semesta).

Penemuan terbaru itu dianggarkan 100 juta tahun lebih awal daripada segala yang pernah diketahui sebelum ini, ujar Rohan Naidu, saintis dari Pusat Astrofizik Harvard.

"Kita ini berkemungkinan melihat cahaya bintang paling jauh yang pernah dapat disaksikan sesiapa,” ujarnya kepada AFP.

Semakin jauh sesuatu objek dari kita, semakin lama tempoh cahayanya sampai kepada kita. Maka untuk mencerap sebuah semesta yang jauh jaraknya, bermakna kita ‘meninjau’ jauh ke lembaran sejarah yang sangat lama.

Walaupun GLASS-z13 telah wujud dalam era awal alam semesta, usia tepatnya masih tidak diketahui kerana ia mungkin terbentuk pada bila-bila masa dalam 300 juta tahun terawal.

GLASS-z13 dikesan menerusi data yang diperoleh dari pengimejan inframerah utama yang mengorbit di angkasa, NIRcam, namun penemuan itu tidak didedahkan kepada umum dalam siri imej pertama yang disiarkan NASA sebelum ini.

BACA: Imej paling terperinci galaksi dari teleskop angkasa Webb

BACA: Teleskop rakam pemandangan menakjubkan di alam semesta

Apabila diterjemah dari inframerah ke spektrum yang boleh dilihat, galaksi berkenaan kelihatan seperti satu tompok merah dengan warna putih di bahagian tengahnya.

Naidu dan pasukan 25 ahli astronomi dari seluruh dunia telah menghantar hasil penemuan mereka ke jurnal saintifik.

"Rekod astronomi banyak yang memerlukan sokongan dan pembuktian. Saya hanya berpuas hati apabila hasilnya mendapat pengesahan rakan sepasukan. Namun, yang ini sangat menjanjikan sesuatu,” ujar Ketua Saintis NASA, Thomas Zurbuchen.

Naidu berkata, seorang lagi pasukan astronomi diketuai Marco Castellano, yang memproses data yang sama, turut mencapai rumusan yang sama.

“Itu memberi kami keyakinan (tentang hasil penemuan itu),” kata Naidu.

Salah satu daripada kelebihan teleskop Webb adalah kemampuannya mencari galaksi-galaksi terawal yang terbentuk selepas Big Bang, 13.8 bilion tahun lalu.

Oleh kerana galaksi itu terlalu jauh jaraknya dari Bumi, pada ketika cahayanya sampai kepada kita, ia terserak luas disebabkan sifat semesta yang tidak terbatas. Maka, cahaya itu berubah kepada bentuk inframerah dalam spektrum cahaya. Teleskop Webb bagaimanapun, dapat mengenal pasti bentuk itu dengan kadar kejelasan tinggi.

Naidu dan pasukannya meneliti data inframerah dari semesta yang jauh itu, demi mencari ciri khusus atau signatur semesta-semesta yang jaraknya sangat jauh.

"Kami memeriksa semua data awal galaksi dengan ciri yang khusus ini, dan inilah dua sistem yang kami kenal pasti mempunyai signatur paling menakjubkan," kata Naidu.

Salah satu daripadanya ialah GLASS-z13, sementara satu lagi ialah GLASS-z11 yang tidak berapa usang.

"Ada bukti kukuh, namun banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya.