KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 10 individu dilaporkan maut dalam satu kejadian tembakan di sebuah pasar raya di Boulder, Colorado pada Isnin.

Komander polis Boulder, Kerry Yamaguchi berkata, salah seorang yang terbunuh itu ialah seorang pegawai polis.

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan motif disebalik tindakan tersebut.

Sebelum itu, stesen televisyen yang menyiarkan situasi secara langsung dari luar pasar raya itu menunjukkan kenderaan SWAT dengan puluhan anggota polis berpakaian taktikal dilihat memasuki premis tersebut.

Turut kelihatan seorang lelaki tidak berpakaian, bergari dan mengalami pendarahan di bahagian kaki dilihat keluar dari pasar raya itu.

"Hati saya luluh melihat kejadian seperti ini berlaku dalam kalangan komuniti Boulder," kata Gabenor Colorado, Jared Polis di Twitternya.

Beberapa saksi mendakwa seorang lelaki secara tiba-tiba melepaskan tembakan di dalam pasar raya itu sekali gus mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.