ZHENGZHOU: Seorang wanita di Zhengzhou, China bernama Wang, membuat janji temu untuk makan malam bersama beberapa rakan di sebuah restoran 'hot pot' selepas seharian bekerja.

Namun, hasrat untuk bersosial pada hari itu mungkin menjadi antara peristiwa yang diingati sepanjang hidupnya.

Mengikut cerita yang dikongsi di Weibo, dan dipetik pelbagai portal antarabangsa, ketika mahu beredar, dia dan pelanggan lain telah diarahkan oleh pihak berkuasa supaya tidak keluar dari restoran itu.

Mereka perlu menjalani kuarantin buat sementara waktu kerana seorang pelanggan yang makan di situ disahkan positif COVID-19.

Akibatnya, 10 kakitangan, dan kira-kira 40 pelanggan terperangkap di dalam kedai berkenaan selama tiga hari.

Mujurlah, pemilik restoran itu cukup bermurah hati untuk menawarkan hidangan hot pot percuma kepada pelanggan yang terperangkap, malah bekerja keras untuk menyediakan makan malam dan sarapan pagi percuma sementara menunggu tamat kuarantin.

“Walaupun ia di luar jangkaan, pengalaman ini menyeronokkan.

"Tetapi saya benar-benar tidak boleh makan hidangan hot pot lagi selepas ini," katanya.

Bagaimanapun, pelanggan yang bermalam di situ sangat berterima kasih kepada petugas restoran kerana telah berusaha melayan keperluan mereka sebaik mungkin sepanjang mereka menjalani perintah kuarantin itu.

China kini berdepan gelombang jangkitan COVID-19 yang paling teruk sejak penularan pertama di Wuhan, gara-gara varian Omicron.