BANGKOK: Seramai 1,869 orang cedera manakala 278 lagi maut dalam 1,917 kes nahas jalan raya yang direkodkan sepanjang tujuh hari sambutan Songkran dari 11 hingga 17 April - termasuk dua hari sebelum dan selepas sambutan perayaan itu dari 13 hingga 15 April.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Keselamatan Jalan Raya, Nirat Pongsitthaworn berkata 82 peratus daripada kes itu melibatkan motosikal.

"Tidak mematuhi had laju menyumbang kepada kira-kira 41 peratus daripada kes kemalangan jalan raya, selain memandu dalam keadaan mabuk sebanyak 21.8 peratus dan bertukar lorong (17 peratus)," katanya pada sidang media.

Sepanjang tempoh tujuh hari pada tahun lepas, sebanyak 277 kematian dilaporkan manakala 2,357 orang cedera, membabitkan 2,365 kes.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan, Witthawal Sunthornkachit berkata 7,141 individu didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk, 765 di bawah pengaruh dadah manakala 19 orang memandu secara melulu.

Selain itu, katanya, seramai 13 orang diarah memakai alat pemantauan elektronik dan dilarang keluar rumah selama tujuh hari bermula 7 malam hingga 5 pagi.

"Mereka yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk perlu menjalani penilaian. Mereka yang didapati berisiko menjadi ketagih akan dihantar ke kemudahan perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Awam," katanya dipetik Bangkok Post hari ini.

Beliau berkata mereka yang didapati berisiko mengulangi kesalahan yang sama akan dihantar ke kem pemulihan.

-- BERNAMA