BANGKOK: Universiti Chulalongkorn Thailand dijangka memulakan pengeluaran vaksin COVID-19 mRNAnya, ChulaCov19, pada suku pertama tahun depan.

Ketua projek pembangunan vaksin Covid-19 Dr Kiat Ruxrungtham berkata ChulaCov19 akan memasuki fasa ketiga ujian ke atas manusia dengan suntikan vaksin itu dijadualkan juga pada suku pertama 2022.

Beliau berkata permohonan akan dihantar kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thai (FDA) pertengahan tahun depan untuk kegunaan kecemasan vaksin itu.

"Sekiranya pendaftaran vaksin diluluskan (oleh FDA), pasukan penyelidik dikehendaki menjalankan ujian fasa keempat untuk mengumpul maklumat tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin terhadap kira-kira 30,000 penerima," katanya, dipetik Bangkok Post.

Sementara itu, Kiat berkata pasukan penyelidik telah mula membangunkan generasi kedua ChulaCov19.

Menurut beliau, pasukan penyelidik memulakan ujian ke atas tikus, manakala ujian terhadap keberkesanan vaksin sebagai dos penggalak juga sedang dijalankan.

Pada Ogos, Kiat mengatakan vaksin ChulaCov19 membentuk imuniti setanding dengan vaksin mRNA Pfizer-BioNTech dan Moderna serta memberikan perlindungan terhadap empat varian utama COVID-19 - Alpha, Beta, Gamma dan Delta.

Awal bulan ini, Kabinet Thai meluluskan 2.32 bilion baht (100baht = RM12.78) untuk ChulaCov19 bagi menyokong pembangunan vaksin itu.

-- BERNAMA