BANGKOK: Thailand melaporkan 47 kematian COVID-19, jumlah kematian sehari tertinggi, menambah jumlah korban keseluruhan kepada 920 sejak pandemik itu bermula Januari tahun lalu.

Dalam 24 jam terakhir, Thailand juga mencatat 3,323 kes COVID-19 baharu menjadikan jumlah jangkitan negara kepada 141,217 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kematian baharu itu melibatkan 26 lelaki dan 21 wanita berusia antara 26 dan 87 tahun termasuk 26 di Bangkok, empat di Nonthaburi dan tiga di Chiang Mai.

Menurut beliau, daripada kes baharu itu, 3,302 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,219 banduan dan 21 kes import.

"46,469 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 1,201 dalam keadaan serius dan 399 bergantung kepada ventilator," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.

Taweesin mengatakan Bangkok kekal sebagai kawasan panas dalam penularan terbaharu.

"Sebanyak 41 kelompok telah dikesan di Bangkok. Oleh itu, pihak berkuasa kesihatan meningkatkan pengesanan kes aktif di kem pekerja pembinaan dan pasar-pasar di bandar ini, " katanya.

Hingga kini, lebih 3.20 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 di negara ini.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dalam satu kenyataan berkata vaksin COVID-19 adalah agenda nasional dan beliau telah mengarahkan agensi yang berkaitan untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Ia merangkumi kakitangan perubatan dan kesihatan awam, sukarelawan, orang tua dan mereka yang menghidap tujuh penyakit tidak berjangkit.

Setakat 25 Mei, Thailand berada di kedudukan ke-5 di antara negara-negara ASEAN dari segi jumlah kumulatif vaksinasi COVID-19, katanya sambil menambah Thailand telah menetapkan sasaran untuk menjadi yang kedua di rantau ini melalui vaksinasi menyeluruh, sekitar enam hingga lapan juta dos pada akhir Jun.

Setakat ini, sejumlah 7.9 juta orang telah mendaftar untuk vaksinasi.

Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan agar semua agensi bergabung untuk menyediakan kemudahan kepada orang ramai yang sudah bersedia dan telah mendaftar untuk vaksinasi, dalam usaha untuk mewujudkan kekebalan kelompok.

Vaksinasi besar-besaran di Thailand akan bermula pada Jun apabila kumpulan pertama vaksin AstraZeneca keluaran tempatan tersedia.

-- BERNAMA