BANGKOK: Thailand dan Malaysia akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam industri pertahanan serta keselamatan sempadan, kata Pemangku Perdana Menteri Thailand Prawit Wongsuwan.

Beliau berkata lawatan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein peluang baik untuk memajukan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pertahanan.

"Pertukaran lawatan di semua peringkat pimpinan juga akan mengukuhkan kerjasama dalam segenap dimensi, terutamanya kerjasama berkaitan sempadan.

"Kedua-dua pihak (Thailand dan Malaysia) sepakat untuk mengukuhkan lagi kerjasama mengenai keselamatan sempadan di bawah tiga kerangka kerja mesyuarat iaitu, Jawatankuasa Sempadan Am (GBC), Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC), dan Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC)," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Selasa, Prawit yang juga Timbalan Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Hishammuddin di Rumah Kerajaan.

Sementara itu, Prawit berkata Thailand dan Malaysia bersetuju untuk memajukan projek infrastruktur di sempadan Thailand-Malaysia.

"Laluan pengangkutan akan dibangunkan, manakala projek lain yang belum selesai, seperti pembinaan jalan yang menghubungkan pusat pemeriksaan kastam kedua-dua negara, dan pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Golok, akan diteruskan," katanya.

Pada Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Thailand, Prayuth sepakat bahawa kedua-dua negara perlu mempercepat rundingan bagi pelaksanaan projek infrastruktur di sempadan.

Projek itu termasuk pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok; Jambatan Pengkalan Kubor - Tak Bai; dan jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang baharu di Songkhla.

Sementara itu, Prawit berkata Malaysia dan Thailand berharap untuk menyaksikan rundingan damai di selatan Thailand dapat menamatkan konflik seterusnya membawa keamanan kepada penduduk di sepanjang sempadan.

Pada masa ini, bekas ketua polis Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor, yang mewakili kerajaan Malaysia, berperanan sebagai fasilitator untuk rundingan damai di selatan Thailand.

-- BERNAMA