Thailand mansuh ujian COVID-19 ketika ketibaan bermula 1 Mei

Bernama
April 22, 2022 13:34 MYT
Thailand terus melonggarkan syarat kemasukan dengan membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei. - Gambar fail/BERNAMA
BANGKOK: Dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong dan memulihkan industri pelancongan selepas dilanda pandemik, Thailand terus melonggarkan syarat kemasukan dengan membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei.
Pelancong tidak lagi diminta membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata mesyuarat itu juga bersetuju insurans perubatan dikurangkan daripada US$20,000 kepada AS$10,000.
Bagi pelancong tidak lengkap vaksinasi, mereka perlu mengemukakan ujian RT-PCR negatif bagi pengecualian kuarantin dan mereka yang gagal mempamerkan sijil vaksinasi akan dikenakan kuarantin lima hari di pusat kuarantin ditetapkan negeri.
Mulai 1 April, pelancong antarabangsa juga tidak perlu lagi menjalani ujian COVID-19 72 jam sebelum berlepas tetapi dikehendaki memohon "Thailand Pass" bagi bukti vaksinasi dan insurans.
Mesyuarat CCSA pada Jumaat juga meluluskan penjualan minuman beralkohol di restoran hingga tengah malam, bermula 1 Mei.
Thailand merekodkan 21,808 kes baharu dan 128 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 4,128,038 kes dan 27,520 kematian.
-- BERNAMA
#Thailand #ketibaan pelancong #pelancongan #syarat kemasukan #Ujian rT-PCR #COVID-19 #lengkap vaksinasi #CCSA