Thailand mengalu-alukan kedatangan 14.5 juta pelancong asing sehingga Julai

Bernama
Julai 18, 2023 23:00 MYT
Pasar terapung Khlong Hae di Hatyai, Songkhla antara destinasi popular kini kembali sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia. - Foto fail/BERNAMA
BANGKOK: Industri pelancongan Thailand mengalu-alukan kedatangan 14.15 juta pelancong asing dengan pendapatan sektor pelancongan mencecah 588 bilion baht dari 1 Januari hingga 16 Julai tahun ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pelancongan dan Sukan memaklumkan bahawa Malaysia berada di antara lima pengunjung tertinggi melawat negara itu dengan 2.24 juta pelawat diikuti China (1.65 juta), Korea Selatan (830,576), India (826,390) dan Rusia (825,777).
"Kementerian meramalkan bahawa bilangan pelancong asing ke Thailand akan melebihi 15 juta menjelang akhir Julai, dengan jumlah ketibaan pelancong meningkat selepas cuti sekolah di kebanyakan negara," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sektor pelancongan Thailand dijangka menjana pendapatan 3 trilion baht pada 2024.
Timbalan Gabenor bagi Pemasaran Domestik Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thapanee Kiatphaibool berkata agensi itu dijangka mengalu-alukan kedatangan 35 juta pelancong asing dan 200 juta perjalanan domestik tahun depan.
"Dengan hala tuju strategik 2024 yang dirancang, TAT menetapkan sasaran pendapatan keseluruhan dalam senario terbaik sebanyak 3 trilion baht merangkumi 1.92 trilion baht daripada pelancongan antarabangsa dan 1.08 trilion baht daripada pelancongan domestik," katanya dalam satu kenyataan.
TAT telah menurunkan sasaran pelancongan antarabangsa daripada 2.29 trilion baht sebelum ini kepada 1.92 trilion baht kerana inflasi, kemelesetan, kenaikan kadar faedah, lonjakan harga bahan api, penerbangan antarabangsa yang perlahan.
-- BERNAMA
#pelancongan #Thailand #ekonomi #pendapatan negara