BANGKOK: Thailand mempercepat pemberian vaksin kepada individu berusia 60 tahun ke atas dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian di negara ini.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand mencatatkan 19,603 kes baharu COVID-19 dan 149 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan kepada 776,108 dan 6,353 korban setakat ini.

Pada 7 Ogos, negara ini mencatatkan jumlah korban harian tertinggi sebanyak 212.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata lebih 65 peratus daripada 149 kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Beliau berkata berdasarkan statistik, daripada 2,417 kematian yang dilaporkan dari 18 Julai hingga 8 Ogos, 1,317 melibatkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

"Kementerian Kesihatan Awam mempercepat pemberian vaksin dalam kalangan warga emas bagi mengurangkan tahap keparahan dan kematian," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Isnin.

Beliau menambah kementerian juga meningkatkan vaksinasi dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan wanita hamil.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) Dr. Sophon Iamsirsithavorn berkata jabatan itu merancang memvaksinasi 70 peratus penduduk warga emas di Bangkok dan di wilayah "zon merah gelap", dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50 peratus.

Terkini, katanya sekitar 3.67 juta warga emas di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu mengulas mengenai vaksinasi, Dr Apisamai berkata sejumlah 20.67 juta dos telah diberikan sejak 28 Februari.

Mengenai kes baharu pula katanya, jumlah kes berkurang sedikit iaitu sebanyak 19,603 berbanding 19,983 pada 8 Ogos.

Menurutnya kes baharu itu termasuk 313 banduan dan 12 kes import termasuk tiga ketibaan dari Malaysia.

Sehingga kini, katanya sebanyak 214,421 pesakit masih dirawat di hospital termasuk di hospital medan di seluruh negara. Jumlah itu termasuk 5,218 dalam keadaan kritikal dan 1,084 bergantung pada bantuan alat pernafasan.

Mengenai kes kematian baharu ia melibatkan 84 lelaki dan 65 wanita berusia antara empat bulan hingga 103 tahun, termasuk sembilan warga asing.

"Seramai 26 daripadanya meninggal dunia di rumah," katanya.

-- BERNAMA