BANGKOK: Thailand menyasarkan untuk memulihkan sektor pelancongannya pada 2023.

Gabenor Pelancongan Thailand (TAT), Yuthasak Supasorn berkata Thailand mengunjurkan sekurang-kurangnya 20 juta pelancong bagi menjana keuntungan kira-kira 2.38 trilion baht (AS$64.5 bilion) tahun ini, namun ia tidak termasuk pelancong China.

“Selepas China melonggarkan banyak sekatan COVID-19 yang ketat mulai 8 Januari, kami menyemak semula sasaran ketibaan pelancong. Kami mengunjurkan 5 juta pelancong China akan melawat Thailand tahun ini.

“Bagaimanapun, kami tidak menjangka ketibaan pelancong China di Thailand kembali ke tahap sebelum pandemik, sebaliknya kami menjangkakan 50,000 hingga 100,000 pelancong sebulan pada suku pertama 2023," katanya.

Thailand, salah sebuah destinasi pelancongan paling popular di Asia, dikunjungi oleh hampir 40 juta pelancong pada 2019.

Bagaimanapun, industri pelancongan merudum akibat COVID-19, yang memaksa kerajaan memperkenalkan syarat kemasukan yang ketat dan berkos tinggi.

Pada 2022, Thailand menerima lebih 11 juta pelancong.