BANGKOK:Thailand tidak bercadang untuk memperluaskan kawasan darurat meskipun protes mega mendesak Perdana Menteri, Paryuth Chan-ocha meletak jawatan sedang berlangsung di seluruh negara.

Polis bagaimanapun sedang berusaha untuk mengawal keadaan dan menyuraikan protes.

Thailand mengeluarkan perintah  melarang perhimpunan awam lebih daripada empat orang di Bangkok, melarang  penyebaran berita palsu yang menjejaskan keselamatan negara dan memberikan kuasa yang luas kepada pihak berkuasa untuk menahan orang.

Pada Ahad, protes telah merebak ke beberapa daerah di luar Bangkok.

Prayuth menegaskan, buat masa ini darurat hanya dikuatkuasakan di Bangkok.

"Tidak ada rancangan untuk memperluaskan perintah darurat.

"Kerajaan sedang berusaha untuk bertolak ansur sebaik yang mungkin.

"Saya meminta kepada semua penunjuk perasaan supaya tidak merosakkan harta benda kerajaan dan harta persendirian, jangan buat sesuatu yang salah dan paling penting, jangan mencetuskan pertempuran," ujarnya.

Jelasnya, tanggungjawab kerajaan adalah melindungi sistem monarki negara.

Beliau pada masa sama, menyeru para penunjuk perasaan supaya mengadakan protes dengan aman.

Antara lain beliau turut memaklumkan, kerajaan terbuka untuk mengadakan sidang Parlimen luar biasa bagi mencari jalan keluar untuk situasi semasa.