TIADA dokumen sulit ditemui di kediaman tepi pantai Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ketika pencarian dilakukan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu.

Menurut kenyataan dikeluarkan peguamnya, pencarian di Rehoboth, Delaware itu dilakukan dengan "kerjasama penuh" presiden.

Pencarian selama empat jam itu berkaitan siasatan berhubung pengendalian dokumen sulit kerajaan AS.

Setakat ini tiada kenyataan dikeluarkan pihak FBI dan pencarian itu dilakukan secara suka rela.

Peguan Biden, Bob Bauer berkata, pencarian berkenaan dilakukan "tanpa pemberitahuan awam" atas faktor "keselamatan operasi dan integriti".

Susulan pencarian, Bauer berkata, "tiada dokumen yang diklasifikasikan sebagai sulit ditemui".

Beberapa "nota yang Biden tulis dengan tangan" bertarikh semasa beliau memegang jawatan Naib Presiden antara tahun 2009 dan 2017 diambil untuk siasatan lanjut, kata Bauer memetik laporan BBC.

Pencarian pada Rabu merupakan yang terbaharu dalam beberapa siri siasatan selepas dokumen sulit ditemui di Pusat Penn Biden di Washington DC pada November lepas.

Penemuan itu tidak didedahkan pada umum ketika itu.

Beberapa dokumen sulit lain kemudian ditemui di salah satu kediaman Biden di Wilmington, Delaware dalam pencarian yang dilakukan pada Disember dan Januari lepas.

Jumlah sebenar dokumen sulit yang ditemui tidak didedahkan namun difahamkan puluhan dokumen itu ditemui dalam pencarian pada Januari lepas sahaja.

Biden berkata, pasukannya lakukan "apa yang mereka patut lakukan" dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan "memberi kerjasama penuh" ketika siasatan dijalankan.