Perdana Menteri Theresa May telah secara rasmi memulakan proses pemisahan Britain dari Kesatuan Eropah (EU), dengan mengisytiharkan negara itu tidak akan berpatah balik dan menyambut baik proses yang agak rumit itu.

Dalam salah satu langkah paling penting yang pernah dilakukan oleh seorang pemimpin British sejak Perang Dunia Kedua, May memaklumkan kepada Presiden EU, Donald Dusk melalui sepucuk surat yang ditandatanganinya, bahawa Britain akan keluar dari kesatuan itu.

Negara itu menyertai EU pada tahun 1973.

Perdana Menteri itu, yang pada mulanya menentang Brexit, sekarang mempunyai dua tahun untuk membuat perundingan mengenai syarat-syarat pemisahan itu sebelum Mac 2019.

May, 60, kini mempunyai tugas yang sangat berat, iaitu memegang teguh Britain untuk menghadapi tuntutan kemerdekaan Scotland, sambil membuat rundingan dengan 27 negara EU lain dari segi kewangan, perdagangan, keselamatan dan isu-isu kompleks yang lain.

Hasil rundingan itu akan membentuk masa depan ekonomi Britain bernilai AS$2.6 trilion dan menentukan sama ada London boleh mengekalkan tempatnya sebagai salah satu daripada dua pusat kewangan global tertinggi.