Seorang kanak-kanak Britain berusia lima tahun telah diserahkan invois dan diancam dengan tindakan mahkamah kerana tidak menghadiri majlis hari lahir rakan sekolahnya.

Alex Nash tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana perlu meluangkan masa bersama datuk dan neneknya.

Invois daripada ibu rakan sekolahnya itu telah diserahkan kepada Alex oleh guru sebuah taska (Torpoint Nursery and Infant School) di selatan England sejurus selepas cuti Krismas berakhir.

Menurut media Britain, ayah Alex, Derek Nash telah mendapat invois yang diserahkan kepada anaknya berjumlah £15.95 (RM86.25).

Invois rasmi dan lengkap yang beralamatkan Plymouth Ski Slope itu meliputi bayaran sewa premis, tiga permainan luncur ais termasuk harga hidangan makanan, minuman, ais krim dan belon.

"Ia adalah invois yang betul dan lengkap dengan butir-butir penuh dan juga butiran bank mereka di atasnya," kata Derek.

Enggan melakukan pembayaran, keluarga mereka kini diancam dengan tindakan daripada mahkamah tuntutan kecil yang bertanggungjawab menyelesaikan pertelingkahan sivil kecil.

"Duit bukan satu isu, tetapi cara mendapatkannya itu," tambah Derek.

Pengeluar invois, Julie Lawrence dalam satu kenyataan media, berkata dia tetap dengan permintaannya itu.

"Semua butir telah dinyatakan di kad jemputan. Mereka mempunyai semua butiran untuk menghubungi saya," jelas Julie.

Menurut Derek, dia kehilangan butiran untuk menghubungi Julie.

Menurut pengarah Plymouth Ski Slope, Louissa Duggan, pihak mereka tidak mengeluarkan sebarang invois dan alamat premis mereka telah disalahgunakan di dalam dokumen tersebut.

"Selain majlis itu diadakan di premis kami, pihak kami tidak ada kena-mengena dengan kes ini," jelas Louissa kepada agensi berita AFP.