KAJIAN terbaharu menunjukkan tiga dos vaksin keluaran syarikat biotech Sinovac mampu menghasilkan antibodi peneutralan sebanyak 94 peratus terhadap varian COVID-19 Omicron.

Menurut laporan Global Times, penghasilan antibodi peneutralan dalam tubuh manusia adalah pada kadar 35 peratus selepas dua dos suntikan.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Global Times, kajian melibatkan 20 individu yang menerima dua dos suntikan dan 48 individu lain yang menerima tiga dos suntikan vaksin keluaran Sinovac.

7 daripada kumpulan pertama pertama dan 45 daripada kumpulan kedua didapati positif dalam meneutralkan antobodi menentang varian omicron.

Sinovac berkata kajian pemberian dos penggalak adalah sangat berkesan terhadap varian yang mudah menular Omicron.

Varian tersebut yang pertama kali dikenal pasti pada November lepas, kini telah menular kepada 77 negara dan wilayah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Britain melaporkan kes kematian pertama melibatkan varian tersebut pada Isnin lepas.

Varian Omicron dilaporkan lebih mudah tersebar dan mampu menembusi perlindungan imun yang dibina oleh vaksin.

Kajian Sinovac dibuat berdasarkan dua sampel varian Omicron dari Hong Kong dan kajian terperinci sedang dilakukan bagi mendapat hasil yang lebih menyeluruh.

Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac antara yang paling banyak digunakan di seluruh dunia.

Ia juga merupakan antara dua jenis vaksin yang menerima kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).