HANOI: Hospital Kanak-Kanak Hanoi di Vietnam merawat tiga pesakit bawah umur termasuk seorang budak lelaki berusia lima tahun selepas termakan kek mengandungi dadah.

Lapor media tempatan kesemua kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital berkenaan dalam keadaan khayal.

Pengarah Jabatan Kecemasan dan Kawalan Racun, Dr Nguyen Tan Hung berkata pihaknya mengesyaki kesemua mangsa mengambil makanan mengandungi bahan terlarang berdasarkan simptom serta keterangan daripada keluarga masing-masing.

Pihaknya diberitahu bahawa ketiga-tiga mangsa memakan kek coklat yang diberikan jiran.

"Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut kini semakin stabil dan kami telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis," katanya.

Sebelum ini, polis menasihati orang ramai di Hanoi supaya berhati-hati ketika mengambil makanan yang dibeli daripada penjaja jalanan kerana terdapat beberapa kes makanan yang dijual mengandungi dadah.

Kes terbaharu melibatkan seorang wanita 56 tahun yang dimasukkan ke Hospital Bach Mai baru-baru ini, selepas memakan bertih jagung dan pemeriksaan mendapati terdapat ganja dalam air kencingnya. - Sinar Harian memetik agensi