Tonton dulu filem Modi sepenuhnya, mahkamah arah SPR India

Astro Awani
April 15, 2019 15:08 MYT
Poster filem biografi Narendra Modi dilihat di Mumbai, India, 7 Jan, 2019. REUTERS/Fail
Mahkamah Agung pada Isnin mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI) menonton sepenuhnya filem biografi Perdana Menteri Narendra Modi sebelum memutuskan sama ada tayangannya perlu dihentikan atau tidak.
Suruhanjaya itu diminta melaporkan dapatannya kepada mahkamah itu selewat-lewatnya Jumaat, lapor akhbar The Hindu.
Tarikh akhir bagi panel membuat keputusan mengenai perkara itu ialah pada 22 April, iaitu apabila mahkamah akan bersidang sekali lagi bagi membincangkan kes itu.
Mahkamah dilaporkan mendapati ECI tidak menonton filem itu sepenuhnya sebelum mengarahkan tayangannya dihentikan pada 10 April lalu.
Menurut mahkamah, ECI membuat keputusan itu berdasarkan treler pendek filem itu.
"Pertimbangkan perkara itu sekali lagi," kata mahkamah.
Minggu lepas, ECI memutuskan tayangan filem itu dihentikan sepanjang tempoh pilihan raya umum, menyebabkan pengeluar filem terbabit membawa perkara itu ke Mahkamah Agung.
Dalam kenyataannya ECI berkata, larangan tayangan filem itu bertujuan tidak mengganggu proses pilihan raya, yang dilihat boleh memberi kelebihan kepada individu atau sesebuah parti itu.
"Mana-mana poster atau bahan publisiti sama ada menggambarkan calon secara langsung atau sebaliknya tidak boleh dipamerkan di media elektronik dan di kawasan yang termaktub di bawah Kod Tata Kelakuan," jelas ECI.
BACA: Ceritalah Modi: Apa yang ada untuk saya?
Peringkat pertama pilihan raya India bermula minggu lepas dan terdapat enam lagi peringkat yang akan berlangsung sehingga 20 Mei.
Pengiraan undi dijadual pada 23 Mei.
#filem #India #mahkamah #Narendra Modi #pilihan raya #Suruhanjaya Pilihan Raya #treler