MOSCOW: Pengeluar kereta terkemuka Jepun, Toyota mengurangkan pengeluaran globalnya untuk Julai sebanyak enam peratus, dengan hanya 800,000 unit kereta berbanding 850,000 unit, lapor Sputnik.

"Jumlah pengeluaran global untuk Julai dijangka kira-kira 800,000 unit (kira-kira 250,000 unit di Jepun dan 550,000 unit di luar negara).

"Kami telah menyemak semula rancangan pengeluaran global sebanyak kira-kira 50,000 unit daripada jumlah yang diberikan kepada pembekal kami pada awal tahun," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu ada kemungkinan pengeluaran mungkin lebih rendah berikutan kekurangan semikonduktor dan penularan COVID-19.

Pada Mei, Toyota mengurangkan pengeluarannya sebanyak 10 peratus, iaitu 700,000 kereta berbanding 800,000 berikutan gangguan rantaian bekalan disebabkan COVID-19 dan konflik di Ukraine.

-- BERNAMA