Tragedi solat Jumaat: Lebih ramai datang ke masjid - Imam

Shafizan Johari
Mac 16, 2019 05:16 MYT
Komuniti berbilang kaum di Hamilton, New Zealand berkumpul di hadapan Masjid Khadija untuk tunjukkan sokongan terhadap komuniti Islam tempatan. Foto oleh Shazly Khan.
Tidak gentar dengan ancaman puak pelampau, komuniti Islam di New Zealand tekad menggandakan usaha mendekati warga tempatan dalam memberikan kefahaman sebenar mengenai Islam.
Imam Masjid Khadija di Hamilton, Shazly Khan, seorang rakyat Malaysia, berkata demikian susulan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch pada Jumaat.
"Sejurus kejadian, jawatankuasa masjid berkumpul berbincang mengenai hal ini dan kami membuat keputusan untuk tidak mengambil langkah menutup pintu.
"Malahan, kami mengambil peluang untuk berdakwah dan berkongsi pengetahuan mengenai Islam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.
BACA: Apa yang kita tahu setakat ini mengenai tragedi solat Jumaat Christchurch
"Sebenarnya pada awal tahun lalu, kami berhasrat untuk memberi fokus kepada meningkatkan usaha membantu anggota komuniti lain, baik Muslim atau pun bukan Muslim.
"Dan, susulan serangan ini, kami akan tambahkan lagi usaha untuk menunjukkan kepada orang ramai betapa kami bermanfaat kepada masyarakat dan betapa persepsi mereka salah.
"Kami mahu tunjukkan bahawa kami berhijrah ke New Zealand untuk memberikan nilai tambah dan bukan menghabiskan beras mereka," kata Shazly.
BACA: Polis ambil 36 minit untuk tahan suspek pengganas
Jelasnya, kerajaan New Zealand ada mengeluarkan arahan mengerahkan polis meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan masjid.
Oleh itu, beliau yakin tahap keselamatan masjid kini berada di tahap yang terbaik dan rumah ibadah itu tidak perlu ditutup.
BACA: Tragedi solat Jumaat Christchurch: Polis nasihat orang ramai hindari masjid
Katanya, masjid di Hamilton hanya ditutup sejak kejadian pada tengah hari Jumaat itu, tetapi sudah dibuka untuk solat Zohor pada Sabtu.
"Sejak dibuka semula untuk solat Zohor, Alhamdulilah semakin ramai datang ke masjid," tambah Shazly.
Bagaimanapun, pihaknya menangguhkan buat sementara waktu pembelajaran agama untuk kanak-kanak yang dijalankan di madrasah di kawasan berkenaan sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
BACA: PDRM tidak kompromi suspek dalangi keganasan di Malaysia
#imam #Islam #Jumaat #Kanak-kanak #keselamatan #Muslim #New Zealand #pengganas #polis #serangan #Shazly Khan #Solat Jumaat #Tragedi Solat Jumaat