BANGKOK: Seorang aktivis ditahan pihak berkuasa selepas didakwa atas cubaan menghina keluarga diraja Thailand.

Memetik laporan BBC, Jatuporn 'New' Saeoueng menyarung baju sutera seolah mempersenda Permaisuri Suthida ketika menyertai protes jalanan.

Transgender berusia 25 tahun ini merupakan salah seorang daripada ratusan aktivis yang didakwa menghina keluarga Diraja Thailand dalam protes menyeru reformasi terhadap monarki.

Menurut AP Jatuporn menafikan mempersenda Permaisuri Suthida dan tidak berniat untuk menimbulkan provokasi pada hari itu.

“Saya menggayakan pakaian itu untuk diri sendiri, versi saya memakai pakaian tradisi Thailand,” katanya.

Jatuporn menyertai protes yang diadakan di bandar Bangkok pada 2020 itu dengan berpakaian tradisional Thailand berwarna merah jambu sambil dipayung oleh seorang pembantu.

Di Thailand, menjadi kesalahan untuk menghina Raja, Permaisuri, waris atau Pemangku Raja.

Hukuman maksimum 15 tahun penjara boleh dikenakan di bawah undang-undang 'lese majeste' yang paling ketat di dunia.