PONGOLA: Seramai 19 kanak-kanak dan dua orang dewasa maut dalam kemalangan pada Jumaat selepas sebuah treler merempuh bas sekolah dinaiki mereka di Pongola, Afrika Selatan.

Berdasarkan rakaman 'dashcam', pemandu trak itu dilihat cuba memotong treler lain di laluan berkembar sebelum bertembung dengan bas berkenaan, lapor media tempatan, News 24.

Pemandu treler itu menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas pada awalnya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Dia difahamkan akan didakwa atas tuduhan menyebabkan kematian dan memandu dengan cuai.

Semua kanak-kanak yang terbunuh berusia di antara 5 dan 12 tahun manakala dua orang dewasa yang maut merupakan pemandu dan penumpang.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan jika ada mangsa yang terselamat dalam kemalangan maut itu.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.