PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam untuk mewujudkan peraturan baru buat syarikat media sosial bahkan mungkin menutupnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Twitter meletakkan label ‘semak fakta’ pada ciapan pemimpin itu berkaitan pengundian secara pos pada Rabu.

Tindakan itu mengundang kemarahan Trump yang kemudian menciap: “Twitter menyekat KEBEBASAN BERSUARA. Saya sebagai Presiden tidak akan membenarkan perkara ini berlaku.”

Tidak terhenti di situ, beliau pada Khamis menulis di laman Twitternya: “Kami akan sentiasa memantau, atau menutupnya,” dan kemudian menciap lagi: “Tindakan tegas akan menyusul.” - dipercayai merujuk khusus kepada Twitter.

Ironinya, Trump yang marah kepada Twitter menggunakan aplikasi Twitter untuk meluahkan ‘kemarahannya’ kepada syarikat media sosial gergasi itu.

Sehingga kini, tiada reaksi balas daripada Twitter atau syarikat media sosial yang lain.

Meskipun bernada tegas, namun Trump tidak boleh menutup syarikat terbabit dan apa sahaja keputusan perlu mendapatkan persetujuan Kongres.

Pentadbirannya sebelum ini juga pernah menolak perintah eksekutif yang pernah diusulkan untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan memantau syarikat teknologi.

Twitter pada Rabu secara lantang melabel dua ciapan yang dimuat naik oleh Trump sebagai tuduhan tidak berasas malah meletakkan label ‘semak fakta’ pada ciapan tersebut.

Langkah itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Trump hingga beliau mendakwa Twitter ‘campur tangan’ dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020.