TWITTER disaman oleh tuan tanahnya kerana tidak membayar sewa untuk tapak ibu pejabatnya di pusat bandar San Francisco, yang mana platform itu dilaporkan melalui pemotongan kos yang besar di bawah Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Elon Musk.

Syarikat itu berhutang AS$136,260 (lebih RM600,000) kerana sewa yang tidak dibayar, menurut tuntutan mahkamah yang difailkan pada Khamis oleh Columbia Property Trust seperti dilaporkan New York Post.

Sebelum itu, New York Times melaporkan Musk dan penasihatnya berharap untuk berunding semula syarat perjanjian pajakan bangunan itu selepas memberhentikan ramai kakitangan syarikat itu.

Pengecilan saiz telahpun bermula dan dijangka beterusan.

Twitter yang menutup pejabatnya di Seattle, lapor The Times pada Jumaat - turut memotong perkhidmatan kebersihan dan keselamatan di ibu pejabatnya.

Laporan itu mendakwa pekerja yang masih bertugas membawa kertas tandas mereka sendiri ke tempat kerja.

Musk membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion (RM193.8 bilion) pada bulan Oktober dan telah mengurangkan kos dengan pelbagai cara sejak pengambilalihan itu.

Kakitangan pembersihan dan keselamatan juga telah diberhentikan dari pejabat syarikat di New York dan San Francisco.

Pada malam Krismas, Musk mengarahkan kakitangan ke pusat data di Sacramento untuk menutup pelayan utama sebagai langkah penjimatan kos, lapor Times.

Sementara itu, pemberhentian pekerja masih diteruskan dengan bahagian infrastruktur dan dasar awam syarikat turut dipotong bermula minggu lalu, kata laporan itu lagi.

Pekerja telah diarahkan untuk menangguhkan pembayaran kepada kontraktor atau vendor - termasuk akauntan dan perunding yang bekerjasama dengan syarikat itu.

Menurut laporan itu lagi, syarikat itu juga disaman kerana gagal membayar hampir AS$200,000 (RM881,000) untuk penerbangan sewa peribadi yang dibuat pada minggu Musk mengambil alih.

Pekerja menjangkakan lebih banyak pemberhentian akan datang, dedah laporan itu.