SEKURANG-kurangnya tujuh orang maut dalam kejadian banjir teruk dan tanah runtuh yang melanda enam daerah di Tapanuli Tengah, Sumatera Utara, Indonesia pada Rabu.

Kejadian tersebut turut menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan situasi kecemasan.

Banjir yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu turut memusnahkan beberapa kediaman dan kemudahan awam sehingga menyebabkan laluan yang menghubungkan daerah Barus dan Pakkat tersekat.

Ketua Agensi Pencegahan Bencana Tapanuli Tengah, Safaruddin Ananda Nasution berkata, setakat jam 5 petang Rabu, tujuh mangsa termasuk pasangan suami isteri di daerah Barus dan lima penduduk daerah Andam Dewi, disahkan maut.

Sebelum ini, agensi Meteorologi, Cuaca Dan Geofizik di Medan sudah mengeluarkan amaran hujan lebat, angin kencang dan ribut petir yang dijangka berlaku di wilayah itu bermula Selasa lalu.