DODOMA: Sekurang-kurangnya tujuh terkorban, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, selepas menikmati hidangan daging penyu.

Tiga lagi dilaporkan masih dirawat di hospital dalam kejadian pada Khamis di Pulau Pemba, Tanzania.

Hidangan itu sering dinikmati penduduk di kepulauan negara itu namun ia telah diharamkan selepas didapati mengandungi bahan toksik.

Menurut Ketua Polis Pulau Pemba, Juma Said Hamis, ketika kejadian, sekurang-kurangnya lima keluarga sedang menikmati hidangan penyu itu, memetik laporan BBC.

Tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat dengan empat lagi pada Ahad.

Seramai 38 individu dikejarkan ke hospital dan telah dibenarkan pulang, namun tiga lagi masih menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pada Mac lalu, 19 individu termasuk sembilan kanak-kanak maut selepas menikmati hidangan daging penyu di Madagascar, menurut laporan agensi berita AFP.

Insiden sama pernah dilaporkan di Indonesia, Micronesia dan kepulauan Lautan Hindi.