MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak, apabila sekumpulan penyerang bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kolam renang awam di Mexico City pada Sabtu.

Memetik laporan CNN, saksi kejadian memberitahu pihak berkuasa bahawa kumpulan lelaki bersenjata tiba di kolam di bandar Cortazar sekitar jam 4.30 petang (waktu tempatan) dan melepaskan tembakan secara rambang.

Penyerang kemudiannya merosakkan sebuah kedai, kamera keselamatan, dan skrin monitor sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Video media sosial yang tular menunjukkan orang awam yang memakai pakaian renang menjerit ketakutan dan memeluk anak mereka.

Tentera Mexico dan pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk mencari kumpulan penyerang yang bertanggungjawab dalam serangan itu.

Pasukan keselamatan yang tiba di lokasi menemukan tujuh mayat, termasuk jasad seorang kanak-kanak bawah umur tujuh tahun.

Selain itu, mereka turut menemukan kelongsong peluru yang bertebaran di lokasi, menurut kenyataan daripada pihak berkuasa tempatan.

Selain mangsa maut, seorang mangsa pula cedera parah dan dibawa ke hospital, tambah kenyataan itu.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan pihak berkuasa berkata mereka masih menyiasat motif kejadian.