MEDIA sosial adalah 'perpustakaan' pelbagai koleksi kandungan pelik. Kali ini, tiba-tiba sahaja kisah seorang lelaki menjadi tular kerana dipercayai memiliki hidung paling panjang.

Kisah Thomas Wedders mendapat perhatian media sosial selepas laman Twitter, Historic Vids menyiarkan gambar arca kepalanya yang diperbuat daripada lilin, seperti yang disimpan di muzium Ripley's Believe It Or Not.

Lelaki bernama Thomas Wedders dari Yorkshire, sebenarnya masyhur pada abad ke-18 kerana mempunyai hidung terpanjang di dunia iaitu berukuran 19 sentimeter (7.5 inci).

Rekod penghibur sarkas itu kekal sehingga hari ini, menurut Rekod Dunia Guinness, tetapi hanya hasil kerja lilin itu menjadi bukti bentuk fizikal hidungnya yang luar biasa.

"Terdapat catatan sejarah bahawa Thomas Wedders, yang tinggal di England pada tahun 1770-an dan merupakan ahli sarkas, mempunyai hidung berukuran 19cm (7.5in) panjang," kata deskripsi di laman web Guinness World Records.

Tiada rekod jelas tentang kehidupan Thomas yang pernah digelar sebagai 'Pinocchio sebenar' itu, bagaimanapun dia dikatakan meninggal dunia di Yorkshire pada awal 50-an.

Bagaimanapun, rekod hidung terpanjang bagi orang yang masih hidup milik Mehmet Ozyurek dari Turki. Dengan ukuran panjang 8.7 sentimeter (3.46 inci), rekod itu disahkan oleh Rekod Dunia Guinness pada November tahun lalu.