ENAM wartawan di Sudan Selatan dilaporkan ditahan pihak berkuasa minggu lalu berhubung kejadian Presiden Salva Kiir yang dipercayai terkencing ketika hadir pada satu majlis rasmi Disember lalu.

Menurut laporan agensi media asing, perkara itu dimaklumkan kesatuan wartawan kebangsaan pada Sabtu, susulan rakaman video 'seluar basah' yang tidak disiarkan di kaca televisyen tetapi tular di media sosial. 

Rakaman tersebut menunjukkan tompokan gelap meresap ke bawah seluar yang dipakai Kiir, 71 tahun, ketika berdiri untuk lagu kebangsaan pada acara perasmian jalan raya.

Presiden Kesatuan Wartawan Sudan Selatan Patrick Oyet memaklumkan, enam wartawan yang bekerja dengan Perbadanan Penyiaran Sudan Selatan ditahan pada Selasa dan Rabu.

"Mereka disyaki tahu bagaimana video presiden terkencing itu boleh tersebar luas," katanya kepada Reuters.

Mereka yang ditahan ialah pengendali kamera Joseph Oliver dan Mustafa Osman; penyunting video Victor Lado, penyumbang berita Jacob Benjamin dan petugas bilik kawalan Cherbek Ruben dan Joval Toombe.

“Kami bimbang kerana mereka kini ditahan lebih lama daripada tempoh masa yang dibenarkan mengikut undang-undang," kata Oyet.

Di bawah undang-undang Sudan Selatan, pihak berkuasa dibenarkan menahan suspek selama 24 jam sahaja sebelum membawa kes ke mahkamah.

Sehingga kini, Menteri Penerangan Sudan Selatan Michael Makuei dan jurucakap Perkhidmatan Keselamatan Negara David Kumuri tidak memberi maklum balas mengenai isu ini.

Kiir dipilih menjadi Presiden sejak Sudan Selatan mencapai kemerdekaan pada 2011.

Sebelum ini, pegawai kerajaan berulang kali menafikan khabar angin mengatakan beliau dalam keadaan tidak sihat.