WASHINGTON: Syarikat media sosial Twitter akan membentuk majlis khas moderasi bagi platform itu sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan yang diambil oleh pembeli jutawan Elon Musk.

Usahawan teknologi itu pada Jumaat bagaimanapun berkata tiada sebarang keputusan mengenai kandungan atau pengembalian semula akaun sehingga majlis itu bersidang.

"Twitter akan membentuk majlis moderasi kandungan dengan sudut pandangan yang pelbagai," Sputnik memetik Musk sebagai berkata melalui media sosial.

Pada Khamis, Musk memuktamadkan perjanjian pemerolehan Twitter berjumlah AS$44 bilion selepas rundingan bermula pada April. Pemerolehan itu bagaimanapun tertangguh setelah Musk bimbang mengenai jumlah akaun palsu di platform itu.

Musk berikrar untuk meningkatkan perlindungan untuk kebebasan bersuara di Twitter sebagai sebahagian daripada pemerolehan platform itu. Awal tahun ini Musk berkata beliau bersedia untuk membatalkan larangan Twitter terhadap bekas Presiden AS Donald Trump, yang dikuatkuasakan berikutan rusuhan 6 Januari 2021 di Capitol AS.

Kenyataan baharu Musk mencadangkan pengembalian semula mungkin merupakan keputusan yang dibuat oleh majlis moderator kandungan.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Trump dilaporkan berkata beliau akan kekal di platformnya sendiri, Truth Social, namun mengucapkan selamat maju jaya kepada Musk dengan pemerolehan Twitternya.

-- BERNAMA