EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) mengumumkan rancangan menghantar kapal angkasa bagi melakukan penyelidikan di asteroid antara Marikh dan Musytari bagi mengumpul data mengenai asal usul alam semesta.

Ini adalah projek terbaharu dalam program ruang angkasa bagi negara yang kaya dengan minyak itu.

Jika pendaratan berjaya dilakukan, ia akan meletakkan UAE setaraf dengan Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Amerika Syarikat yang telah berjaya melakukan misi tersebut.

Kapal angkasa itu akan berada di asteroid dan menghantar balik maklumat ke bumi mengenai komposisi asteroid itu selagi bateri di kapal tersebut bertahan.

Projek ini mensasarkan pelancaran pada tahun 2028 dengan pendaratan pada tahun 2033, perjalanan lima tahun di mana kapal angkasa akan menempuh jarak sekitar 3.6 bilion kilometer.

Agensi Angkasa UAE menyatakan, pihaknya akan bekerjasama dengan Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa di Universiti Colorado untuk projek tersebut.

Kos bagi projek tersebut bagaimanapun masih belum didedahkan dan dalam peringkat kajian.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) terdapat 1.1 juta asteroid yang terkenal di sekitar sistem suria.

Sebilangan besarnya mengelilingi matahari di kawasan antara Marikh dan Musytari.