EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) pada Ahad melancarkan satu pelan utama untuk merangsang ekonomi negara itu dan melonggarkan peraturan tempat tinggal (residensi) yang ketat untuk golongan ekspatriat.

Langkah diambil ketika negara teluk itu berusaha memperbaiki kedudukan kewangannya dan menarik kedatangan warga luar dan pelaburan asing.

Sempena ulang tahun ke-50 negara itu, UAE kini berusaha mempercepatkan pembaharuan ekonomi dan sosialnya untuk menjenamakan semula masa depannya pasca wabak COVID-19.

Antara lain, UAE mengumumkan visa baharu yang membolehkan warga asing bekerja di negara itu tanpa ditaja majikan.

Warga asing di UAE, negara yang kaya dengan hasil minyak, biasanya diberi visa terhad yang berkaitan dengan pekerjaan mereka.

Status residensi jangka panjang juga sukar untuk diperoleh.

Namun, kini mereka yang memegang ‘visa hijau’ baharu boleh bekerja tanpa penajaan syarikat dan bawa bersama ibu bapa mereka serta anak-anak yang berusia 25 tahun ke bawah.

Bercakap pada sidang media di Dubai pada Ahad, Menteri Perdagangan Luar Negara Thani Ahmed al-Zeyoudi berkata, visa tersebut menyasarkan individu berkemahiran tinggi, termasuk pelabur, ahli perniagaan, pelajar serta lepasan universiti.

"Kami mengumumkan 'visa hijau', yang merupakan satu sistem residensi baru, yang memisahkan antara permit tempat tinggal dan permit kerja.

"Ia menjadikan tempat tinggal itu ke atas pekerja, dan bukan syarikat.

"Residensi ini akan merangkumi beberapa faedah baru yang berbeza dari residensi biasa, seperti kebenaran ke atas pemegang visa hijau untuk menaja anak-anak mereka sehingga berusia 25 tahun, dan juga menanggung ibu bapa mereka," katanya.

Ekonomi UAE | Visa 'hijau' diperkenal, bantu lonjak ekonomi

Negara teluk yang kaya sumber asli seperti UAE semakin berusaha untuk mempelbagaikan ekonomi mereka dan mengurangkan pergantungan kepada minyak.

Pandemik COVID-19 juga mempengaruhi pelancongan dan perniagaan di UAE, yang menyaksikan ekonominya merosot dalam beberapa tahun terakhir kerana harga minyak rendah.

Pada 2019, UAE melancarkan 'visa emas' 10 tahun untuk menarik individu kaya dan pekerja berkemahiran tinggi, skim pertama seumpamanya di negara teluk.

Program serupa turut dilancarkan di negara teluk lain yang kaya dengan sumber asli seperti Arab Saudi dan Qatar.