MOSCOW: Pengawal selia maklumat United Kingdom (UK) mengenakan denda GBP12.7 juta (hampir AS$16 juta) ke atas TikTok kerana melanggar undang-undang perlindungan data, termasuk membenarkan kanak-kanak di bawah umur 13 tahun menggunakan platform media sosialnya dan memproses data mereka tanpa persetujuan ibu bapa.

"Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO) menetapkan denda GBP12,700,000 kepada TikTok Information Technologies UK Limited dan TikTok Inc (TikTok) kerana beberapa pelanggaran undang-undang perlindungan data.

"ICO menganggarkan TikTok membenarkan sehingga 1.4 juta kanak-kanak UK bawah 13 tahun menggunakan platformnya pada 2020 walaupun peraturannya sendiri tidak membenarkan kanak-kanak seusia itu membuka akaun," menurut kenyataan itu, lapor Sputnik.

Undang-undang perlindungan data UK mewajibkan organisasi mendapatkan persetujuan ibu bapa mereka atau wakil undang-undang lain untuk menggunakan data peribadi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

Bagaimanapun, TikTok gagal berbuat demikian, sebaliknya platform itu didakwa mengumpul dan memproses data peribadi kanak-kanak yang memungkinkan kandungan berpotensi berbahaya disalurkan kepada mereka.

Sejak beberapa bulan lepas, lebih separuh dari negeri di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, New Zealand, Suruhanjaya Eropah, Parlimen Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah, melarang TikTok dipasang pada peranti kerajaan ekoran kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna yang boleh diakses oleh kerajaan China.

-- BERNAMA