UK dikritik tergesa-gesa bawa keluar warga Afghanistan

Astro Awani
Ogos 30, 2021 01:50 MYT
Anggota tentera menuruni pesawat RAF C-17 yang mendarat di RAF Brize Norton, di Oxfordshire, England, selepas operasi dua minggu membawa keluar warga Afghanistan, 29 Ogos 2021. (Foto AP)
UNITED Kingdom (UK) berdepan banyak kritikan selepas kerajaan itu mengakhiri secara tergesa-gesa membawa keluar warga Afghanistan, sekali gus menyebabkan ratusan lagi yang sepatutnya ditempatkan semula, terkandas.
Dalam tempoh dua minggu, pihak berkuasa berjaya membawa keluar lebih 15,000 orang.
Sebelum ini Perdana Menteri Boris Johnson memuji misi yang disebut sebagai pertama kali dilihat sepanjang hayat.
Namun, beberapa pegawai tinggi termasuk bekas pegawai UK mengecam kegagalan kerajaan dengan menjangkakan sepatutnya lebih ramai warga Afghanistan boleh diselamatkan.
Pihak pemantau sayap kiri memetik beberapa maklumat menyatakan, beribu-ribu emel yang masih belum dibuka dari Ahli Parlimen dan badan amal kepada Kementerian Luar, menekankan secara spesifik berhubung risiko warga Afghanistan akibat pengambilalihan Taliban.
Menteri Luar Dominic Raab menerima kritikan hebat kerana tidak memendekkan tempoh percutiannya ketika Taliban menguasai wilayah Afghanistan.
Pihak pemantau berkata, pihaknya melihat bukti di akaun emel rasmi Kementerian Luar yang menerima kira-kira 5,000 emel, namun masih tidak dibuka minggu lalu.
Katanya, ia termasuk emel dari pejabat menteri dan pemimpin parti pembangkang, Keir Starmer.
Pejabat luar dalam kenyataan balas bagaimanapun menyatakan, pasukan krisisnya bekerja 24 jam menerima emel dan panggilan.
Pihak pegawai memberikan anggaran yang berbeza-beza mengenai bilangan warga Afghanistan yang memenuhi syarat, namun tidak dapat menaiki penerbangan bagi program pemindahan yang kali terakhir dijalankan pada Sabtu.
Dalam pada itu, akhbar The Sunday Times memetik kenyataan seorang menteri yang tidak dinamakan sebagai berkata, pihaknya yakin mereka sepatutnya boleh membawa lebih 800 hingga 1,000 orang lagi.
#evakuasi #Boris Johnson #Afghanistan #United Kingdom