NEW DELHI: Ukraine meminta ruang dan peluang menghadiri acara G20 dan mesyuarat kepimpinan kumpulan itu di India pada September.

Timbalan Menteri Luar Emine Dzhaparova pada Selasa berkata negaranya meminta ruang untuk "hadir" pada acara sampingan serta penyertaan Presiden Volodymyr Zelensky dalam sidang kemuncak itu.

Dzhaparova ditemui di Majlis Hal Ehwal Dunia India, yang berlangsung di New Delhi sambil berhujah bahawa sidang kemuncak itu harus membincangkan krisis terbabit kerana ia memberi kesan kepada ekonomi G20.

"Presiden saya dengan senang hati bersuara bagi rakyat Ukraine" dan menerangkan kesannya terhadap Ukraine dan ekonomi dunia, katanya.

Lawatan Dzhaparova ke New Delhi selama empat hari (9-12 April) adalah sebahagian daripada usaha Ukraine untuk membina hubungan yang lebih erat dengan India.

Beliau turut mengadakan perbincangan dengan beberapa pegawai kanan India kerana Ukraine mahu mempunyai pendekatan "seimbang dan pragmatik" membabitkan hubungan dua hala dengan India.

-- BERNAMA