KIEV: Ukraine sedang menyiasat hampir 26,000 kes jenayah perang yang dilakukan sejak pencerobohan Rusia pada 24 Februari lalu.

Hasil siasatan itu juga telah membawa kepada pendakwaan seramai 135 individu.

Menurut Ketua Pendakwaan Jenayah Perang Ukraine, Yuriy Bilousov, daripada jumlah pendakwaan, kira-kira 15 individu berada dalam tahanan Ukraine dan baki 120 masih bebas.

Sementara itu, katanya sebanyak 13 kes telah dikemukakan ke mahkamah dan tujuh keputusan telah dikeluarkan.

Mei lalu, seorang askar Rusia berusia 21 tahun ditahan dan menjadi individu pertama disabitkan dalam perbicaraan jenayah perang di Ukraine sejak serangan Rusia 24 Februari lalu.

Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh orang awam yang tidak bersenjata.

Tambah Bilousov, sekiranya pegawai berpangkat tinggi Rusia berada di Ukraine dan berjaya ditahan, mereka juga akan turut didakwa.