KIEV: Pencerobohan Rusia di Ukraine tidak hanya membabitkan dua negara. Bencana kemanusiaan, kebuluran, krisis tenaga; hampir kesemua aspek kesejahteraan masa depan dunia kini bergantung kepada situasi dan perkembangan konflik dua negara ini.

Untuk itu Wanita Pertama Ukraine, Olena Zelenska sudah mula melihat dan merancang masa depan untuk Ukraine, dengan tiga komponen utama bagi membangunkan semula negara itu pasca perang.

"Apabila kita bercakap tentang formula, ia mestilah sesuatu yang mudah. Pada masa yang sama, menyeluruh dan begitu juga dengan situasi kita. Saya percaya itu formula kami.

"Untuk memulihkan, ia boleh dibuat dengan tiga komponen. Pertama sekali, keselamatan. Ia akan menjadi sukar apabila peluru berpandu dan bom berada di kawasan kediaman kita. Kita boleh terus membina semula tetapi itu tidak akan menghalang mereka daripada terus menyerang, jadi ia perlu dihentikan. Kita perlukan langit yang cerah.

"Komponen kedua ialah pembinaan semula supaya rakyat mempunyai tempat untuk kembali dan memulihkan infrastruktur, seperti hospital dan sekolah. Supaya orang ramai mempunyai tempat untuk mendidik anak-anak mereka, tempat untuk pergi ke mendapatkan rawatan.

"Perlu ada pemulihan fizikal dan mental, kerana malangnya, kita melihat ramai orang kurang upaya sekarang.

"Mereka mengalami trauma fizikal, trauma mental, dan kita perlu menanganinya bersama-sama. Dan bagi mengelakkan akibat yang lebih teruk, kami telah memulakan program kebangsaan untuk pemulihan psikologi dan saya sangat mahu program ini dimulakan segera," katanya ketika bercakap pada sesi diskusi bertajuk Heart of the World Beats in Ukraine pada Sidang Kemuncak tahunan kedua First Ladies and Gentlemen, pada Sabtu.

Sidang kemuncak itu berlangsung dengan objektif melihat pembinaan semula struktur fizikal negara itu serta modal insannya, sebaik sahaja perang berakhir.

Turut serta ialah wanita pertama Latvia, Andra Levite dan wanita pertama Lithuania, Diana Nausėdienė, yang turut sama berkongsi apirasi mahu melihat Ukraine kembali bangkit selepas perang berakhir.

"Kali pertama sidang ini dilangsungkan dahulu, situasinya berbeza. COVID sedang tersebar ke seluruh Eropah. Namun begitu, kanak-kanak menikmati cuti musim panas, pelajar bermimpi tentang masa depan mereka dan datuk dan nenek memanjakan cucu mereka dengan hadiah musim panas.

"Tahun ini, datuk dan nenek mengebumikan cucu yang dibunuh dan anak muda Ukraine mempertahankan dan mati untuk negara mereka dalam perang tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral yang dimulakan Rusia.

"Dunia mengagumi kekuatan Ukraine yang ditunjukkan oleh Ukraine dan berdiri bersama mereka semasa penderitaan yang boleh dibayangkan ini. Tindakan Rusia telah membuka luka yang telah sembuh, parut yang wujud dalam ingatan ramai warga Latvia, kenangan pengusiran beramai-ramai, pembunuhan haram memusnahkan kediaman kami. Dan yang paling penting nyawa manusia yang menjadi mangsa lebih 50 tahun.

"Rakyat Latvia mengalami kesakitan yang sama seperti yang dialami oleh rakyat Ukraine hari ini. Kami faham, kami tahu, dan kami merasakan kesakitan anda di Latvia," kata Levite mengimbas sejarah perjuangan rakyat negaranya.

"Kita mesti berdiri bersama. Di sini adalah tempat di mana perjuangan untuk kebebasan dan kemerdekaan kita semua, di mana sahaja kita berada di Eropah atau merentasi Atlantik, di United Kingdom atau di mana-mana sahaja di dunia dalam menghadapi tragedi peperangan hibrid.

"Kami bergabung tenaga untuk mencari penyelesaian global yang belum pernah terjadi sebelumnya," tambah Nausėdienė.