ISTANBUL: Presiden Ukraine pada Isnin berkata meskipun Rusia terus menyerang negaranya tetapi beliau berikrar bahawa "Ukraine tidak akan jadi tapak kemusnahan."

"Mereka tidak mampu melakukan apa-apa selain menyebabkan kehancuran. Itu sahaja yang mereka tinggalkan dan apa yang mereka lakukan terhadap Ukraine kini adalah percubaan mereka untuk membalas dendam. Membalas dendam kerana rakyat Ukraine telah berulang kali mempertahankan diri daripada mereka," kata Volodymyr Zelenskyy menerusi hantaran video di Telegram, lapor Agensi Anadolu.

Presiden itu menyuarakan bahawa Kyiv tidak akan menerima arahan dari Moscow dan akan "melakukan segala-galanya untuk memulihkan setiap objek, setiap rumah, setiap perusahaan yang dimusnahkan oleh penjajah."

Zelenskyy berkata bahawa hanya dalam seminggu, tentera Rusia menembak 258 kali ke atas 30 penempatan di wilayah Kherson dan juga merosakkan stesen pam yang membekalkan air kepada Mykolaiv.

Sambil menyifatkan Inisiatif Bijirin Laut Hitam adalah "antara inisiatif kemanusiaan Ukraine terbesar dalam sejarah," pemimpin itu menegaskan bahawa dalam hal ini, Ukraine menerima sokongan daripada pelbagai negara termasuk Turkiye, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun serta beberapa negara Kesatuan Eropah dan juga dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA