NEW DELHI: Presiden Rusia Vladimir Putin memberitahu Perdana Menteri India, Narendra Modi bahawa Ukraine "meninggalkan" proses rundingan bagi menamatkan konflik Rusia-Ukraine.

Konflik yang sedang berlangsung itu menjadi satu daripada agenda mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin berkenaan pada Jumaat sempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Samarkhand, Uzbekistan.

"Saya tahu era hari ini bukannya peperangan dan kami bercakap kepada anda banyak kali menerusi telefon bahawa demokrasi, diplomasi dan dialog ialah perkara yang menyentuh dunia," kata Modi kepada Putin, menurut terjemahan ucapan pembukaan beliau yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Presiden Rusia menerusi kenyataannya berkata, beliau memahami kebimbangan Modi.

"Saya tahu mengenai pendirian anda berhubung konflik di Ukraine dan kebimbangan yang sering anda utarakan.

"Kami akan melakukan yang terbaik bagi menghentikannya secepat mungkin. Bagaimanapun malangnya, pihak satu lagi, kepemimpinan Ukraine, mengumumkan ia meninggalkan proses rundingan serta mengisytiharkan mahu meraih matlamatnya menerusi ketenteraan 'di medan tempur'...," kata Presiden Rusia menurut transkrip kenyataannya yang dipetik dari laman sesawang Kremlin.

Kerajaan Modi mengekalkan pendirian bahawa konflik Rusia-Ukraine perlu diselesaikan secara damai dan mengelak mengeluarkan kenyataan keras di khalayak.

Bagaimanapun, kenyataan Modi dalam Bahasa Hindi, pada pertemuan dengan Putin itu, disiarkan ketika India mengkriktik tindakan ketenteraan yang meletus pada Februari tahun ini.

-- BERNAMA