KUCHING: Sempena Ulang Tahun ke-77 Kemerdekaan Republik Indonesia, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching berharap kerjasama yang kukuh antara kerajaan di Kalimantan dan Sarawak dapat dioptimumkan.

Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata Indonesia dan Sarawak telah lama berkongsi sempadan negara sepanjang lebih 2,000 kilometer yang boleh memberi manfaat begitu luas kepada sosial dan ekonomi rakyat di kedua-dua belah pihak.

Sebagai satu rumpun dan hidup di atas tanah Kepulauan Borneo, Sarawak dan Indonesia boleh membentuk kerjasama yang meluas tidak hanya kepada Kalimantan Barat malah juga kepada Ibu Kota Nusantara di Kalimantan Timur dalam bidang penghasilan tenaga, infrastruktur dan eksport.

“Kedudukan di perbatasan antara Sarawak-Kalimantan ini akan kita maksimumkan dari segi potensi dalam pelbagai bidang dan sektor ekonomi, dan kita tahu Sarawak sangat maju dalam bidang penghasilan tenaga, kemudian pembangunan infrastruktur yang boleh dilaksanakan secara kolaborasi termasuk dalam industri eksport.

“Tugas utama KJRI adalah untuk memberi perlindungan kepada rakyat Indonesia, maka yang akan dilihat dari sudut hubungan bilateral antara dua negara Malaysia dan Indonesia adalah kerjasama dengan Sarawak dari kalangan pemegang taruh, para usahawan, serta pihak-pihak swasta yang boleh saling membantu memajukan kedua-dua kawasan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Upacara Memperingati Ulang Tahun ke-77 Kemerdekaan Republik Indonesia di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kuching pada Rabu.

Upacara tersebut turut dihadiri oleh warga Indonesia yang bekerja di Sarawak dari pelbagai sektor dan perindustrian serta para pelajar daripada Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC).

Selepas ditangguhkan selama dua tahun, upacara rasmi itu turut menyaksikan pelaksanaan beberapa acara penting antaranya upacara menaikkan bendera Indonesia serta pembacaan teks dan Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia 1945.

Sementara itu mengulas soal permohonan pekerja warga Indonesia ke Sarawak, Raden memberitahu pihak kedutaan di Kuala lumpur telah menerima sejumlah 23,000 permohonan kemasukan ke Malaysia untuk kumpulan pertama selepas tempoh pembekuan ditamatkan.

Daripada jumlah tersebut, 1,600 permohonan katanya telah dirujuk kepada KJRI di Kuching melibatkan pekerja di beberapa sektor di Sarawak yang turut didaftarkan melalui sistem atas talian One Channel System (OCS).

“Bagaiamanapun setakat  ini kita belum melihat kemasukan secara fizikal pekerja yang memohon ini ke Sarawak, kerana sistem OCS ini turut dipantau di Kuala Lumpur dan Jakarta, maka kita akan sama-sama pastikan kebajikan pekerja Indonesia ini dari segi pengambilan, sehinggalah kepada mendapat pekerjaan diberi jaminan perlindungan.

“Semua perlindungan untuk pekerja ini termasuk hak-hak mereka yang lain akan akhirnya memberi manfaat kepada syraikat perusahaan yang terlibat kerana kita semua faham dan merasakan desakan  perusahaan yang mengalami kekurangan pekerja yang ketara,”ujarnya lanjut.