JAKARTA: Vaksin polio oral novel jenis dua (nOPV2) Indonesia akan digunakan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk mencegah penularan wabak polio di seluruh dunia.

Syarikat farmaseutikal milik kerajaan PT Bio Farma telah dianugerahkan kontrak daripada UNICEF untuk membekalkan vaksin polio bagi tempoh 2022-2023, kata presidennya Honesti Basyir.

"Kami telah menyumbang kepada kesihatan awam global kerana dapat menyediakan stok simpanan untuk mereka yang memerlukannya semasa wabak," katanya dalam satu kenyataan.

UNICEF memperoleh lebih satu bilion dos vaksin polio setiap tahun dan bekerjasama dengan pengeluar vaksin untuk memastikan bekalan yang mencukupi untuk imunisasi rutin serta kempen vaksinasi.

Bio Farma kini menyumbang 67 peratus daripada bekalan vaksin polio global.

Honesti berkata antara negara di Afrika yang menggunakan vaksin itu ialah Algeria, Cameroon, Republik Demokratik Congo, Djibouti, Ethiopia, Gambia, Ghana, Nigeria, Senegal, dan Uganda.

Dalam perkembangan lain, Indonesia mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin Indovac Bio Farma sebagai imunisasi aktif dalam mencegah COVID-19 yang disebabkan oleh SARS-CoV-2, pada golongan dewasa.

Indovac yang diluluskan itu menggunakan teknologi subunit protein rekombinan yang dibangunkan oleh Bio Farma dan Kolej Perubatan Baylor, Amerika Syarikat, kata ketua Agensi Kebangsaan Kawalan Dadah dan Makanan (BPOM) Penny Lukito.

Pada sidang media pada Jumaat, beliau berkata vaksin itu sudah mendapat sijil halal daripada Majlis Ulama Indonesia dan Badan Jaminan Halal Kebangsaan negara itu.

Bio Farma merancang untuk menghasilkan 20 juta dos Indovac di kemudahannya di Bandung, Jawa Barat.

-- BERNAMA