SHANGHAI: Universal Studios Beijing akan dibuka secara rasmi pada 20 September ini, menurut laporan media kerajaan, CCTV, pada Isnin.

Pembangunan taman tema itu adalah hasil usahasama Universal Parks and Resorts di bawah Comcast Corp dan juga syarikat milik kerajaan, Beijing Shouhuan Cultural Tourism Investment. Berdasarkan jadual pengurusan, taman tema berkenaan akan memulakan operasi percubaan pada 1 September.

Pada tahun 2014, Universal Studios mengumumkan tentang projek resort tersebut, yang merupakan taman tema 'jenama' Universal Studios yang kelima di dunia. Pada permulaannya, projek mega itu dijangka menelan belanja sejumlah AS3.3 bilion (RM13.72 bilion).

Tarikh pembukaannya telah tertunda selama beberapa bulan akibat ancaman pandemik COVID-19, lapor media tempatan.

Selain pengalaman menaiki pelbagai rides, pertunjukan, hotel, peruncitan, makanan dan kompleks hiburan, ia juga menawarkan tarikan yang direka khas untuk mencerminkan warisan budaya China, ujar Universal dalam laman web mereka.

Beijing Shouhuan Cultural Tourism Investment dimiliki lima syarikat kerajaan yang berpangkalan di Beijing, termasuk Beijing Tourism Group, iaitu salah satu firma pelancongan terbesar negara itu.